Isnin, 17 Ogos 2009

Home » » AL QURAN LAMBANG KEHIDUPAN MANUSIA

AL QURAN LAMBANG KEHIDUPAN MANUSIA

Sesungguhnya Al-Quran adalah kalam Allah yang diturunkan melalui malaikat Jibril AS kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, sejak lebih 1400 tahun yang lalu sebagai petunjuk dan pedoman bagi seluruh ummat manusia, khususnya umat Islam dalam mengatur kehidupan dimuka bumi. Perkara ini dapat dilihat dengan jelas melalui firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang berbunyi:
(masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah)bulan ramadhan yang padanya diturunkan al quran menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan maka hendaklah ia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir (lalu ia berbuka) maka (wajib baginya berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkannya itu pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.

Berdasarkan ayat tersebut, telah dibuktikan dalam sejarah bahawa sejak Al-Quran diturunkan ia telah berjaya mengubah sejarah kehidupan manusia yang dikenali sebagai umat jahiliyah yang hidup tanpa sebarang peraturan dan sistem akhlak sehingga menjadi umat yang terbaik dan dicontohi dalam segala bidang.

Hal ini telah dibuktikan sendiri oleh Rasulullah SAW selama 23 tahun Baginda memimpin umat Islam dengan berpandukan ajaran Al-Quran. Ajaran Al-Quran yang amat bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia, bukan sahaja mampu membangun kekuatan rohani malah juga menggerakkan secara aktif kekuatan fizikal dan mental, sehingga umat Islam pada zaman kepimpinan Rasulullah SAW, zaman kepimpinan Khulafa’ ar-Rasyidin dan sesudahnya berjaya mencipta satu tamadun kegemilangan yang merentasi zaman di mana Islam mampu memimpin hampir tiga perempat dunia pada ketika itu.


Kita sedia maklum bahawa tujuan utama Al-Quran diturunkan adalah untuk mengEsakan Allah SWT dan menjalani kehidupan mengikut landasan yang benar. Di samping itu, Al-Quran menganjurkan umatnya supaya menyuburkan nilai nilai akhlak dalam kehidupan termasuklah nilai kasih sayang sesama manusia, hormat menghormati, toleransi dengan pelbagai kaum dan bangsa, keadilan dan keamanan yang merupakan nilai-nilai sejagat serta sesuai dengan kehendak fitrah manusia itu sendiri.

Kerana itulah, kandungan Al-Quran mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia termasuklah kerohanian, akidah, akhlak, perundangan dan pelbagai panduan hidup untuk mencapai kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Justeru, tuntutan memahami dan menghayati ayat-ayat Al-Quran dan membudayakan Al-Quran dalam kehidupan adalah suatu kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana Al-Quran itu sendiri jelas mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia, sebagaimana Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 9 yang berbunyi:


maksudnya : "Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (agama Islam) dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar".


Selain meyakini bahawa Al-Quran merupakan kitab pedoman kita yang perlu diterjemahkan melalui penghayatan dalam diri dengan nilai-nilai yang terkandung di dalamnya bagi melahirkan umat cemerlang,gemilang dan terbilang,kita juga dituntut untuk meyakini bahawa Al-Quran sebagai penawar segala penyakit samada bersifat dalaman mahupun luaran di samping menjadi tempat rujukan segala masalah yang dihadapi.

Tetapi sayangnya tidak semua yang mahu dan bersedia mengikut ajaran Al-Quran atau terdapat segelintir orang orang yang masih tidak mahu beramal dengan Al-Quran, mereka hanya membaca Al-Quran tetapi caralaku kehidupan seharian mereka bertentangan dengan ajaran Al-Quran, mereka mendengar Al-Quran, tetapi memekakkan telinga dengan tidak menghayati tuntutannya, mereka memahami isi kandungannya, tetapi tidak mahu melaksanakan ajarannya, mereka mengetahui kebenaran Al-Quran, tetapi mereka masih tidak takut untuk melanggar kebenaran tersebut bahkan sanggup memperkecilkan janji dan azab Allah SWT.

Justeru, disebabkan kegagalan segelintir orang orang kita dalam menghayati dan menterjemahkan ajaran Al-Quran dalam kehidupan mereka secara tidak langsung telah menyumbang kekeliruan kepada penganut agama-agama lain terhadap Islam, malah lebih malang lagi kepada masyarakat Islam itu sendiri. Kerana apabila mereka tidak mematuhi ajaran Al-Quran, mereka dengan sendirinya mengikut jejak jejak langkah syaitan. Hal ini bertepatan dengan Firman Allah SWT yang berbunyi:


maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu."
(Surah al-Baqarah: 208)


Satu perkara lagi yang perlu dihayati oleh kita adalah penurunan Al-Quran itu sebenarnya telah memberi nilai tambah dan membina kualiti pembangunan modal insan melalui penghayatan Al-Quran, sekaligus meletakkan diri didalam golongan yang disebut sebagai اَلْمُحْسِنِيْن iaitu orang-orang yang suka melakukan kebaikan.

Di samping seruan seruan agar supaya menghayati nilai-nilai yang terkandung didalam Al-Quran, terdapat juga seruan seruan agar supaya ayat-ayat Al-Quran dikaji dan diteliti kerana ianya mampu menghasilkan ilmu pengetahuan bagi kehidupan masyarakat manusia majmuk yang disebut sebagai "أولى الألباب". Dan ini telah dibuktikan oleh ilmuan-ilmuan Islam dalam mencipta dan menghasilkan penemuan-penemuan baru dalam bidang seperti ilmu falak atau astronomi, ilmu perubatan (Tib), ilmu kimia, ilmu hisab atau al-Jibra dan sebagainya. Begitu juga mereka mengkaji tumbuh-tumbuhan, mengkaji alam binatang, bahasa pertuturan, dan lain-lain lagi. Ilmuan-ilmuan seperti Ibnu Rusydi, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, al-Khawarizmi, al-Kindi dan lain-lain adalah merupakan nama-nama besar dalam sejarah kecemerlangan umat Islam suatu ketika dahulu.
Namun kecemerlangan dan ketamadunan yang dipelopori oleh umat umat Islam dahulu hanya tinggal sebuah kenangan. Ianya tiada kesinambungan yang dapat diwarisi oleh umat Islam kini . Segala-galanya perlu dipelajari semula dari kemajuan dan kemodenan barat. Hal ini tidak dapat dinafikan lagi dan puncanya kerana kesilapan masyarakat Islam itu sendiri kerana asyik bergelumang dengan konflik dan perbalahan sesama sendiri, hidup berpuak-puak, tidak ada semangat kesatuan dan akhirnya menjadikan umat Islam begitu lemah, hilang daya saing dan segala kekuatan, di mana akhirnya umat Islam dijajah.

Kesimpulannya, hari ini kita sebagai masyarakat Islam yang mendukung wawasan Al-Quran, bukan hanya setakat dengan mengadakan ceramah ceramah, forum dan sebagainya. Tetapi kita seharusnya menyedari bahawa penurunan Al-Quran sebenarnya membawa dimensi baru dalam melahirkan ummah yang cemerlang seperti di masa lalu. Kecemerlangan itu telah terbukti dan dibuktikan oleh generasi lampau dan ianya bukan sesuatu yang mustahil untuk dirialisasikan pada hari ini.

Daripada contoh-contoh kecemerlangan umat Islam terdahulu, dapat kita mengambil pengajaran dan iktibar yang boleh diguna pakai untuk dilaksanakan di dalam kehidupan kita. Insyaallah kecemerlangan dan kegemilangan Islam akan lahir melalui penghayatan Al-Quran itu sendiri.


maksudnya : "Alif Lam Ra, ini ialah kitab (Al-Quran) kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap gelita kepada cahaya imam dengan izin Allah Tuhan mereka ke jalan Allah yang Maha Kuasa Lagi Maha terpuji". (Surah Ibrahim ayat: 1)


Related Posts by Categories



0 ulasan: