Selasa, 18 Ogos 2009

Home » » ramadhan bulan menguji keimanan

ramadhan bulan menguji keimanan


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Seperti mana kita sedia maklum bahwa bulan Ramadan ialah bulan yang mulia di sisi Allah. Didalam bulan inilah telah difardhukan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam atas para nabi dan Rasul sebelum ianya difardhukan ke atas kita ummat nabi Muhammad s.a.w. Ini adalah kerana dengan menjalani ibadah puasa seseorang muslim itu akan terdidik jiwanya, menjadi lebih bertakwa kepada tuhannya dan mampu menjadi benteng dari godaan syaitan dan hawa nafsu yang sukar dikawal, dimana syaitan tidak pernah jemu-jemu menghasut manusia untuk melakukan kejahatan dan perbuatan yang mungkar. Namun begitu berapa ramaikah dikalangan kita yang benar-benar mampu dan berjaya mengawal diri dari gudaan syaitan gudaan hawa nafsu, gudaan terhadap keseronokan dan kelazatan duniawi ini?.


Kehidupan manusia tidak dapat lari daripada dua persimpangan jalan. Dua persimpangan tersebut ialah runtunan hawa nafsu yang sentiasa menggila dan keimanan yang mantap terhadap Allah s.w.t. untuk memilih dua jalan ini maka manusia dibekalkan akal oleh Allah bagi menilai,antara mana yang lebih baik diantara keduanya.


Adapun manusia yang memilih mengimani kepada tuhannya, merekalah orang yang mendapat kejayaan. Tetapi sebaliknya bagi mereka yang memilih jalan menuruti hawa nafsunya, maka akibatnya amat buruk dengan balasan azab yang telah disediakan oleh Allah s.w.t kelak.


Justeru, dengan kedatangan bulan Ramadan yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman untuk beribadah kepada Allah, dengan ganjaran pahala yang besar dan berlipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah. Maka,seharusnya kita semua merebut peluang ini dalam untuk mendapatkan kelebihannya atau ganjaran pahala tersebut.


Namun demikian ianya bukanlah suatu yang agak mudah untuk diperolehi, kerana dihadapan kita sentiasa ada halangan dan juga cabaran yang perlu kita tempohi dan harungi sebagai satu jihad, terutamanya jihad melawan hawa nafsu yang sememangnya sentiasa mendorong manusia supaya melakukan pelbagai macam kejahatan dan perkara-perkara yang keji. Disinilah letaknya cabaran sebenar bagi kita dalam menunaikan ibadah puasa.


Jika kita mampu memerangi dan melawan kehendak hawa nafsu, bererti ibadah puasa yang kita kerjakan mampu mendidik dan membimbing diri kita menuju ke arah jalan yang benar dan mendapat keredhaan darinya tetapi jika sebaliknya yang berlaku bermakna kita telah gagal atau kecundang dalam ujian dan sekaligus menjadikan diri kita sebagai orang yang bukan sahaja rugi di dunia, bahkan juga rugi di akhirat.


Ini bertepatan sekali dengan Firman Allah didalam surah Yusof ayat 35 yang berbunyi :

dan tiadalah aku bebaskan diriku, sesungguhnya nafsu itu suka menyuruh kepada yang buruk, kecuali orang yang diberi rahmat oleh Tuhanku, sesungguhnya Tuhanku amat pengampun lagi amat penyayang.

Kita semua yakin bahwa setiap muslim sentiasa mengharapkan kehidupan yang sejahtera di akhirat kelak dan memohan dijauhkan dari kehidupan yang sengsara. Kita juga seharusnya sedar bahwa hanya dengan ibadah dan amalan-amalan yang baik semasa di dunia akan menjadi bekalan semasa di akhirat kelak. Manakala mereka yang melakukan kesalahan dan dosa,maka Allah s.w.t. telah menjanjikan balasan yang setimpal sesuai dengan apa yang telah mereka kerjakan.Demikianlah halnya betapa mulianya bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini.

Setelah mana kita bersungguh-sungguh dan bermujahadah melawan hawa nafsu pada bulan yang mulia ini, marilah kita memperbanyakkan lagi amal ibadah kita dengan mengisi ruang-ruang yang ada seperti bersolat taraweh, bertadarus,bersedekah,membaca al-Quran, beriktikaf, menuntut ilmu dan sebagainya untuk meningkatkan keimanan kita didalam usaha mencari keredhaannya.

marilah kita menanamkan azam dihati hati sanubari kita dalam untuk meneruskan amalan-amalan yang baik,umpamanya kita menyahut seruan kerajaan dalam kempen nafas baru bermula Ramadhan, dimana ianya merupakan satu program bagi membantu dikalangan perokok-perokok orang Islam untuk membuang tabiat buruk atau berhenti merokok bermula pada bulan Ramadan kali ini.

Mungkin selama ini ada dikalangan sebahagian kita tercari-cari atau memikirkan cara terbaik untuk berhenti merokok,ada yang telah cuba berhenti merokok tetapi sering kali gagal. Maka inilah masanya, peluang keemasan yang perlu diambil mudah-mudahan dengan azam yang kuat diiringi pendirian yang teguh serta berkat bulan Ramadan yang mulia lagi barakah, Insyaallah usaha untuk berhenti merokok dapat dikekalkan sehingga penghujung bulan Ramadan dan bulan-bulan seterusnya.


Berhenti merokok bukanlah satu perkara yang agak mudah untuk dilakukan oleh seorang perokok, bukannya mةereka tidak sedar akan akibat buruk yang akan memusnahkan diri sendiri dan orang-orang disekeliling mereka, tetapi kerana disebabkan ةmereka telah diikat,dijerat dan dibelenggu oleh pengaruh nikotin yang sekian lama bersarang dalam diri mereka dan ditambah lagi dengan lebih 4000 bahan-bahan kimia yang lain.

Justeru,marilah kita sama sama doakan semoga dengan berkat kesucian bulan Ramadan yang mulia ini dan berdasarkan hasil kajian mendapati bahawa lebih 95 % di kalangan perokok-perokok yang beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadan dengan kita berpuasa hampir 14 jam sehari dan selama itulah ianya mampu dapat mengawal diri dari tidak merokok. Jadi apa salahnya selepas berbuka puasa diteruskan tanpa tidak merokok sehingga bersahur keesokan harinya. Jika tindakan seumpama ini dapat dilakukan serta diamalkan untuk hari-hari seterusnya, Insyaallah tabiat buruk merokok dapat dihentikan disepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Akhirnya, marilah kita sama-sama menjadikan Ramadan bulan yang menjana kekuatan dan jati diri kita, bulan yang mampu mendidik kita menjadi insan yang lebih dekat dan bertakwa kepada Allah. Sebelum Ramadan pergi meninggalkan kita cubalah kita bertanyakan diri kita sendiri. Adakah kita merasa dekat dengan Allah s.w.t. ? atau apakah Ramadan tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada kita setelah kita berpuasa ? atau lebih teruk lagi tiada sebarang perubahan yang berlaku ke atas diri kita walaupun kita dididik dan diasuh dengan amalan-amalan yang baik pada bulan Ramadan ini?.

Perlu di ingatkan bahwa Rasulullah s.a.w. dan para sahabat begitu sedih sehingga menangis disaat-saat akhir Ramadhan yang akan pergi meninggalkan mereka, kerana tidak sanggup berpisah dengannya .

Di dalam satu Hadis Nabi s.a.w. telah bersabda : " Sekiranya hamba-hamba Allah mengetahui apa yang ada dalam bulan Ramadhan, sudah tentu mereka bercita-cita sepaya bulan Ramadan berpanjangan selama setahun ".


Oleh itu, dengan kesempatan hadirnya Ramadhan yang mulia ini, marilah sama-sama kita memerangi nafsu yang boleh membawa kehancuran dan merugikan hidup kita. Sesungguhnya Ramadhan merupakan medan terbaik untuk kita mempertingkatkan keimanan kepada Allah.

firman allah swt yang berbunyi

"(masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekelian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehkah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain" . (al baqarah 185)

Related Posts by Categories



0 ulasan: