Selasa, 18 Ogos 2009

Home » » ramadhan bulan perubahan akhlak

ramadhan bulan perubahan akhlak



Ibadah puasa yang dilaksanakan dengan sempurna selama sebulan mampu mengembalikan manusia kepada fitrah kejadiannya. Berdasarkan kelebihan puasa ini, maka Allah SWT turut mewajibkan umat Islam yang terdahulu untuk berpuasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi:

” Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa puasa boleh mendidik seseorang menjadi mukmin yang tunduk patuh kepada Allah SWT iaitu mukmin yang patuh kepada semua perintah Allah SWT serta menjadi mukmin yang takut dan gentar kepada Allah dengan meninggalkan segala bentuk makisat sama ada zahir atau pun batin.

Selain itu, puasa bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum, malah seluruh anggota seperti telinga, mulut, mata, kaki, tangan dan hati juga hendaklah turut berpuasa. Seseorang itu tidak dinilai sempurna ibadah puasa selagi tidak menahan diri daripada melakukan segala tegahan Allah. Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:” Apabila seseorang kamu berpuasa, maka janganlah kamu melafazkan perkataan yang tidak baik, dan yang tidak berhikmah atau kurang elok daripada perkataan mahu pun perbuatan. Apabila seseorang mencercanya atau hendak berkelahi dengannya. Maka dia hendaklah mengatakan: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!”.








Bulan Ramadan dikurniakan dengan banyak keistimewaan yang luar biasa. Antaranya ialah pintu syurga akan terbuka dengan seluas luasnya. Manakala pintu neraka akan tertutup serapat-rapatnya dan para syaitan akan diikat dan dirantai. Permulaannya rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya kebebasan daripada api neraka. Ini menunjukkan bahawa punca-punca amal kebaikan dibulan Ramadan adalah terlalu banyak. Manakala rangsangan maksiat dan kejahatan adalah kurang dan terbatas. Diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:” Apabila datang bulan Ramadan maka pintu-pintu syurga akan dibuka dan pintu-pintu neraka akan ditutup serta syaitan-syaitan akan dirantai”.


Gambaran ini menunjukkan betapa luasnya ruang yang disediakan oleh Allah SWT melalui bulan Ramadan untuk mendidik nafsu manusia agar tunduk patuh di bawah pengaruh iman dan taqwa. Alangkah bahagianya orang yang mengambil faedah dari kesempatan yang Allah sediakan ini.


Sempena Ramadan yang sedang bakal kita lalui ini, marilah kita menghidupkan Ramadan dengan solat Tarawih, bertadarus al-Quran, memperbanyakan istighfar dan bermunajat kepada Allah yang maha satu di tiap-tiap malam sebelum bersahur. Dalam hadith sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW mengingatkan kita betapa besarnya fadilat menghidupkan Ramadan sabdanya:” Sesiapa yang bangun mengerjakan solat sunat di dalam bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan mengharapkan keredhaan Allah, maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya yang terdahulu.”


Perlu lah kita insafi bahawa hikmah daripada kewajipan berpuasa dengan berlapar dan dahaga sebulan Ramadan adalah untuk mendidik hati dan perasaan kita agar simpati dan perihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik. Sesungguhnya mereka adalah saudara seagama kita yang telah diuji oleh Allah azza wajalla dengan kemiskinan dan kefakiran. Dalam masa yang sama ini juga merupakan ujian Allah kepada golongan yang berada.


Persoalan besar di sini ialah sejauh manakah golongan yang berada dapat melawan runtunan hawa nafsu serta pujukan syaitan yang sentiasa membisikan hati agar kasihkan hartabenda,bencikan amalan bersedekah dan menghulurkan bantuan kepada yang lemah?. Sikap sebegini adalah bertentangan dengan prinsip bahawa hartabenda ialah amanah Allah untuk menyelamat dan membela golongan golongan yang lemah tersebut.


Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 186 :


”Sungguh, kamu akan diuji pada hartamu dan diri kamu. Dan sesungguhnya kamu akan mendengar dari orang yang telah diberikan kitab dahulu daripadamu dan orang musyrik yang banyak menyakitkan hati. Dan jika kamu bersabar dan bertaqwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat.”


Sempena dengan kedatangan bulan Ramadan al mubarak yang berkat ini,saya menyeru kepada semua ibubapa dan masyarakat Islam agar dapat mengambil peluang untuk mendidik nafsu dan membersihkan jiwa daripada kekotoran dan dosa serta noda agar keluarga dan anak-anak kita sentiasa beristiqamah melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Bersama samalah kita meningkatkan azam untuk menjadikan Ramadan kali ini sebagai medan mempertingkatkan kualiti modal insan dan kuantiti ibadah kita kepada Allah SWT.


firman allah yang berbunyi :



“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihan (dengan sebab kekotoran maksiat”.
(ash shams ayat 9-10)















Related Posts by Categories



0 ulasan: