Jumaat, 21 Ogos 2009

Home » » RAMADHAN JALAN MENUJU TAKWA

RAMADHAN JALAN MENUJU TAKWA


Setiap tahun Allah SWT memberikan kesempatan yang cukup istimewa kepada keseluruh hamba-hamba-Nya. Kesempatan itu adalah berkaitan fadhilat fadhilat yang banyak didalam bulan suci Ramadhan al mubarak tersebut. Sepanjang bulan Ramadhan secara fitrahnya hati kita akan melonjak, roh akan bersinar dan juga bercahaya...

manusia adalah produk dan makhluk ciptaan tuhan . Sebagai manusia kadang kala kita tidak dapat lari daripada melakukan sebarang kesalahan sama ada dosa besar ataupun kecil. Sebagai produk ciptaan-Nya, maka Allah SWT yang Maha mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaik pulih dan mempertingkatkan akhlak manusia. Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada keseluruh umatnya dibulan Ramadhan sebagai bulan khusus untuk membersihkan dosa dan menerapkan nilai-nilai yang terpuji sebagai usaha kesinambungan membersihkan diri dan mengembalikan fitrah akhlak kehidupan manusia. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 183 yang berbunyi:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Selari dengan keberkatan bulan Ramadhan al mubarak ini, maka sehari-harian dalam bulan Ramadhan tersebut adalah hari yang paling utama, malam-malamnya adalah malam yang paling utama dan setiap minit dan jam adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT. Dengan demikian, marilah kita bersama sama dengan niat yang tulus dan hati yang suci murni mengangkat tangan dan berdoa agar Allah swt membimbing kita melakukan puasa dengan penuh saksama agar mampu membentuk insan yang taat kepadanya.


Untuk mencapai puasa Ramadhan yang berkualiti dan membentuk insan yang tunduk patuh bukanlah perkara yang agak mudah, kita menghadapi pelbagai cabaran dan ujian yang hebat. Menurut ulama’ ada tiga tingkatan ataupun martabat puasa.
MARTABAT PERTAMA ialah Puasa Umum, iaitu puasa sekadar menahan diri dari tidak makan dan minum tanpa menjaga adab-adab berpuasa.
MARTABAT KEDUA pula ialah puasa yang berusaha menghindari dosa iaitu menjaga segala pancaindera daripada melakukan dosa selain dari menahan diri dari makan dan minum.
MANAKALA MARTABAT KETIGA puasa pula adalah menghindarkan diri dari segala hal yang melupakan dan membuat hati lalai dari mengingati tuhan yang esa. Ini adalah martabat tertinggi puasa. Sebagai tanda umat yang hebat dan juga cemerlang, martabat puasa yang ketiga hendaklah sewajarnya menjadi matlamat kita. Oleh itu, puasa yang berkualiti yang tinggi menjadi titik tolak kepada kita untuk membuat perubahan dan membina kejayaan.


mereka yang memiliki ketinggian ketaqwaannya, tidak pernah membezakan antara bulan Ramadhan atau kesebelasan bulan yang lain untuk berubah. Apa yang nyata, roh Ramadhan dan ibadah-ibadah yang lain terus membimbing mereka menjadi insan yang tunduk patuh.


Sabda Rasulullah SAW dalam hadith riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah RA yang bermaksud :
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu”


Sama ada kita sedar ataupun tidak, berpuasa telah menunjukkan betapa Islam dan mereka yang taat sentiasa menyeru agar supaya bersyukur atas segala nikmat nikmat pemberian nya. Pada masa yang sama, kita sewajarnya perlu insaf bahawa dalam limpahan nikmat yang kita perolehi siang dan malam itu, terselit hak-hak golongan tertentu seperti golongan fakir miskin dan dhaif.


Hakikatnya puasa yang melahirkan umat yang bertaqwa itu mempunyai ciri-ciri umat yang kuat, hebat, produktif, cemerlang dan berdaya saing. Justeru, di bulan Ramadhan al-Mubarak ini, sewajarnya kita merebut peluang ini untuk memastikan ketaqwaan kita terus meningkat dan mengelakkan diri dari binasa dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan juga dosa.






Puasa Ramadhan adalah jalan menuju kepada ketaqwaan. Selari dengan matlamat ini saya menyeru, marilah kita bersama-sama menyempurnakan keimanan dan meningkatkan ketaqwaan dengan melakukan nilai tambah seperti berikut:


1. Renunglah bahawa rasa lapar, haus dan dahaga itu adalah gambaran kesusahan di hari kiamat.
2. Memperbanyakkan sedekah kepada fakir miskin dan kasihanilah kepada anak-anak yatim.
3. Mengadakan majlis berbuka puasa kepada orang yang berpuasa.
4. Memperbanyakkan solat, berzikir kepada Allah SWT dan berselawat ke atas nabi SAW.
5. Mengambil makanan yang berkhasiat dan halal serta tidak membazir atau berboros.
6. Merasai di dalam hati perasaan takut dan mengharap rahmat tuhan serta redha dengan segala ketentuan-ketentuanNya.


firman allah swt yang berbunyi

“Sesiapa yang beramal soleh, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan Dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan.”
(An-Nahl:97)

Related Posts by Categories



0 ulasan: