Sabtu, 9 Januari 2010

Home » » KASIH SAYANG

KASIH SAYANG


Manusia secara sifatnya dijadikan oleh Allah s.w.t. sebagai makhluk yang bersosial. Mereka sentiasa cenderung untuk bergaul sesama sendiri, bermuafakat, bertolong-tolongan untuk mendapat manfaat dan memenuhi keperluan diri. Secara zahirnya tidak mungkin manusia itu hidup sendirian tanpa apa-apa hubungan dengan manusia lain.

Persoalan besar yang timbul ialah walaupun manusia itu pada fitrahnya bersosial tetapi mengapa kita hidup saling bermusuh musuhan,tidak bertegur sapa, bunuh membunuh, dan menzalimi sesama keluarga, jiran tetangga, masyarakat, dan terhadap manusia manusia yang lain?tolong jawab?mengapa dan kenapa?. Ini bertentangan sangat dengan ajaran Nabi s.a.w. bahawa Islam adalah agama kasih sayang sebagaimana banyak sabda sabda baginda didalam hadis hadis shahih dan muktabar.

Apa yang menghairankan sangat pada saya ialah, terdapat sesetengah masyarakat kita tidak bersifat belas kasihan di antara satu sama lain, keadaan ini berlaku kerana sifat yang mulia iaitu sifat kasih sayang semakin luntur di kalangan masyarakat. Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada semua manusia. Di antara nilai rahmat itu ialah Islam menganjurkan kita bersifat kasih sayang sesama manusia, sayang kepada haiwan, sayang kepada keindahan alam sekitar, dan makhluk makhluk Allah yang lain.


Oleh itu, sifat kasih sayang adalah kunci perpaduan bagi kita .Seorang pemimpin yang pengasih dan perihatin, menyebabkan rakyat dan pengikutnya akan hormat dan menyanjunginya. Seorang ayah yang penyayang dan perihatin, menyebabkan dia dicintai dan dihormati oleh anak-anak dan isterinya. Demikianlah rahsia kekuatan kasih sayang dalam kehidupan manusia. Kasih sayang akan mendekatkan antara benua dengan benua, negara dengan negara, dan mengikat persaudaraan manusiawi sekalipun berlainan bangsa, agama, budaya, warna kulit, dan pangkat.


kasih sayang juga kunci kepada kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Oleh itu, adalah penting sekali kita usahakan agar disayangi dan sekaligus menyayangi orang lain. Kalau kita seorang anak, usahakan kita disayangi oleh ibu bapa. Jika kita ibu bapa, usahakan anak anak menyayangi kita. Dengan demikian, akan wujudlah dalam sebuah rumah tangga itu, orang tua sayang pada anak-anak, dan anak-anak sayang pada orang tua.

Bagi pasangan suami isteri pula, kita mesti berusaha agar pasangan kita disayangi dan menyayangi diri kita. Demikian juga dengan kepimpinan negara, para pendidik, ketua jabatan, atau pemimpin masyarakat, perlulah berusaha agar menyayangi dan disayangi oleh orang yang di bawah jagaan kita masing-masing, demi menjadi pemacu kesejahteraan sejagat.


Ambillah iktibar bagaimana kasih sayang seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik. Menurut beliau ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa pengasih dan penyayangnya haiwan ini walaupun berlainan jenis. Allah s.w.t. sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat  kita .Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi kasih sayangnya sangat tinggi.

saya merasa bimbang isu-isu perceraian yang tinggi di kalangan masyarakat kita, kegagalan ibu bapa mengawal tingkah laku jelek anak-anak, gejala sosial yang meningkat, kurangnya semangat kejiranan, tidak mengambil berat masalah masyarakat, seakan petanda perasaan kasih sayang dalam masyarakat sudah hilang begitu sahaja.

Sebagai muslim  yang berpegang dengan ajaran al-Qur'an dan hadis nabi, maka marilah kita bersama sama menghayati semangat kasih sayang dan muhibbah dalam kehidupan seharian demi mencapai keredhaannya dan kebahagiaan dunia dan akhirat nanti.

Related Posts by Categories



0 ulasan: