Isnin, 17 Ogos 2009

Home » » DIAMBANG RAMADHAN

DIAMBANG RAMADHAN


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

Di dalam al-Quran tidak menyebut bulan Muharram tetapi kita membuat sambutan meriah sambutan Maal Hijrah. Demikian juga dalam al-Quran tidak menyebut bulan Rabiul Awal tetapi kita menyambut Maulidur Rasul dengan penuh kehebatan. Bagaimanapun Allah menyebut secara khusus dalam al-Quran tentang kelebihan dan keberkatan bulan Ramadhan. Ini menunjukkan bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa kepada kita kerana waktu malam dan siang ia menyajikan pelbagai keberkatan. Oleh itu, Ramadhan merupakan satu bulan yang mulia yang sentiasa ditunggu dengan penuh kegembiraan. Firman Allah swt dalam al-Quran surah al-Baqarah ayat 185:



(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan ramadhan yang padanya diturunkan al quran menjadi pertunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan keterangan yang menjelaskan pertunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya dan supaya kamu bersyukur."
Berdasarkan ayat ini maka jelas bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan yang perlu kita mengejar mengambil kesempatan. Ketika mengulas kelebihan ini Rasulullah ada bersabda:
Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan. Dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebajikan malam itu, berert telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan”.(Hadis Riwayat Ahmad).


Kadang kala terdapat di kalangan kita mengamalkan ibadah puasa berpuluh puluh tahun atau berbelas belas tahun tetapi tidak berupaya membentuk diri. Mengenai perkara ini, Rasulullah SAW melalui sabdanya mengingatkan kita dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad yang maksudnya: "Terdapat umat Islam berpuasa tetapi tidak memperolehi apa-apa kecuali sekadar lapar semata-mata. Betapa ramai orang bersolat malam tetapi tidak memperolehi apa-apa melainkan sekadar berjaga malam semata-mata.”



Persoalan besar timbul ialah mengapa kita berpuasa, bersolat dan mengamalkan ibadat yang lain tetapi tidak dapat memenuhi standard piawaian yang ditetapkan Allah dan hukum syarak. Berdasarkan pemerhatian , keadaan ini berlaku kerana ibadah itu dibuat tanpa ilmu, tidak membuat persiapan teliti dan dibuat sekadar ikut-ikutan.

Dalam usaha untuk menyambut Ramadhan yang akan muncul ini,suka saya mencadangkan kita sekalian mengambil langkah langkah berikut:

pertama : Membuat persediaan dari sudut ilmu. Kita perlu faham tentang selok belok hukum puasa, syarat-syarat sah dan batal puasa dan amalan-amalan yang dituntut dalam bulan Ramadhan seperti membaca al-Quran, adab-adab beriktikaf dalam masjid, qiyamullail, sedekah dan lain-lain ibadah. Pemahaman yang jelas tentang puasa akan memberi kesan yang mendalam kepada diri seseorang.

kedua : Mulai sekarang kita hendaklah membuat persediaan mental dan rohani untuk menghadapi suasana Ramadhan yang secara intensif melatih umat-Nya mendekati Allah dan membentuk akhlak yang mulia.

ketiga : Membuat persediaan dari segi fizikal atau tubuh badan bagi memastikan tahap kesihatan yang baik. Kesihatan yang baik akan menentukan kita boleh melaksanakan ibadah dengan sempurna. Oleh itu pastikan kualiti dan mutu makanan itu berzat, makan secara sederhana, persekitaran rumah yang bersih dan tidur yang cukup.

keempat : Kita perlu berjimat cermat dan amalan ini akan membolehkan kita melaksanakan zakat dan memperbanyakkan sedekah kepada mereka yang memerlukannya.

kelima : Ibu bapa bertanggungjawab membimbing dan menentukan ahli keluarga membuat persiapan teliti serta mewujudkan suasana keimanan seperti berjemaah solat fardu dan berjemaah tarawih di rumah atau di masjid.

Sebagai renungan marilah kita hayati firman Allah dalam surah al-Ankabuut ayat 58:
maksudnya " Dan orang-orang yang beriman serta beramal Soleh, kami akan tempatkan mereka dalam mahligai-mahligai di Syurga yang mengalir dibawahnya beberapa sungai, demikianlah balasan yang sebaik-baiknya bagi orang-orang yang beramal soleh ".

Related Posts by Categories



0 ulasan: